Kesannya Ke Atas Wanita
Marilah kita menganalisa keadaan ini dan kupas erti sebenar globalisasi. Juga mengapa pendekatan baru perlu diberi kepada istilah globalisasi dan mengupas kesannya ke atas wanita. PENITA telah melakukan tinjauan atas tiga persoalan :Apakah maksud globalisasi?
Apakah keadaan dan kesan semasa globalisasi?
Apakah kesannya globalisasi terhadap kaum wanita?
Maksud Globalasiis
Tinjauan PENITA menunjukan globalisasi mempunyai pelbagai maksud mengikut tafsiran kumpulan-kumpulan mengikut kepentingan mereka. Sepuluh maksud globalisasi dapat dikupas dan dikenalpasti hasil tinjauan kami:1. Globalisasi bermaksud liberalisasi dan ekonomi bebas.
2. Ia bermakna pasaran terbuka dan proses kearah dunia tanpa sempadan.
3. Peluang dan kebebasan melabur bagi negara-negara yang sudah membangun.
4. Bagi negara-negara yang sedang membangun globalisasi bermaksud peluang menarik pelaburan asing.
5. Globalisasi bererti peluang mendapatkan sumber asli dengan harga berpatutan, tenaga kerja dengan kos rendah dan proses pengeluarlan dengan dayasaing yang tinggi
6. Globalisasi bermaksud proses memaju dan berkongsi informasi, pengetahuan dan teknologi.
7. Proses globalisasi memperkembangan budaya, pelancungan dan gaya hidup yang sama.
8. Globalisasi bererti proses mencari kerjasama dan bemaufakat mengatasi sengketaan politik antarabangsa.
9. Globalisasi boleh menegakkan sistem demokrasi dan hak asasi manusia, kezaliman pemerintah dan keganasan terhadap rakyat.
10. Proses globalisasi boleh membenteras masalah kemiskinan, gejala sosial, penyakit-penyakit dan mengatasi gejala malapetaka apabila ianya berlaku.
Globalisasi adalah proses berterusan
Globalisasi adalah satu proses integrasi tamadun manusia yang berterusan. Globalisasi bermula dengan kata dasar “globe” ataupun bumi. Oleh yang demikian proses globalisasi menunjukkan satu proses dimana dunia kita menjadi satu khasnya dari segi ekonomi. Semakin hari semakin terbuka sempadan negara-negara untuk dilawati dan perdagangan seboleh-bolehnya dijalankan tanpa sebarang halangan dan campur tangan pihak kerajaan.Dunia hari ini sudah mulai jadi “kecil” bukan kerana saiznya sudah berkurang tetapi kerana perjalanan sudah menjadi mudah dan cepat. Maka tidak hairan sekiranya ada orang yang mengelilingi dunia dalam satu minggu. Ada orang bersarapan pagi di satu negara, makan tengah hari dinegara yang lain dan makan malam pula dinegara ketiga. Itulah dengan ringkasnya keadaan globalisasi hari ini.
Kesan Globalisasi
Proses globalisasi sudah membawa banyak kesan-kesan yang baik yang telah memperkayakan kehidupan manusia. Kekayaan dunia sudah bertambah. Perjalanan sudah menjadi mudah dan pelancungan hari ini adalah salah satu industri terbesar didunia.Banyak jenis penyakit yang dahulunya bahaya seperti tibi kini sudah menjadi penyakit yang senang diubati dan diatasi. Juga informasi, pengetahuan dan teknologi sudah meningkat sehingga manusia sudah sampai ke bulan.
Usaha memberi pertolongan dan bantuan dapat disampaikan kepada mangsa-mangsa bencana alam sebagai banjir, gempa bumi dan gunung berapi dan lain-lain dengan cepat. Kebolehan ini juga dapat mengurangkan kesengsaraan mangsa-mangsa bencana alam ini.
Walaupun sedemikian, pada tahun 1999, ketika satu sidang kemuncak antarabangsa besar di Seattle, Amerika Syarikat, ramai telah bangun menentang proses globalisasi ini. Ketika itu Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa, iaitu World Trade Organisation (WTO) sedang mengadakan persidangan disitu. Persidangan WTO ini akhirnya gagal dijalankan akibat tercetusnya protes besar-besaran ini.
Hakikatnya sesuatu itu ada baik buruknya termasuk proses globalisasi ini. Protes ini telah membuka mata dunia mengenai kesan-kesan buruk globalisasi yang mulai merugikan rakyat biasa dan menjejaskan kehidupan mereka. Mereka yang terlibat dalam protes antarabangsa itu bukan orang-orang biasa yang sudah hilang akal fikiran. Mereka terdiri daripada para saintis, cendekiawan, pemimpin-pemimpin agama, pencinta alam, pertubuhan wanita, petani-petani, kaum asli, pekerja dan lain-lain golongan. Semua mereka ini memperjuangkan hal-hal kepentingan umum dan bukan kepentingan peribadi. Protes ini nampaknya adalah detik permulaan golongan menentang globalisasi yang semakin hari semakin bertambah. Apakah sebabnya keadaan menjadi sebegini?
Masalah Globalisasi
Globalisasi yang bersifat global merangkumi pelbagai aspek dari ekonomi sehingga budaya dan meliputi seluruh pelosok bumi. Tinjauan PENITA menunjukkan bahawa proses globalisasi sudah melebihi batasan kebaikannya. Kini ianya sudah menyerong mengambil jalan negatif. Pesongan proses globalisasi menuju ke arah negatif didorong oleh tiga sebab yang utama.
Pertama adalah kerana nafsu mencari keuntungan. Kedua adalah bagi menguasai pasaran. Ketiga adalah bagi memperluaskan kuasa. Ketiga-tiga aspek ini nampaknya sudah menjadi prinsip utama proses globalisasi ini. Mari kita menganalisa keadaan ini dan mengupas erti sebenar globalisasi dan masalah-masalah yang timbul akibatnya?
Pertama tujuan asas globalisasi membuka ruang mencari keuntungan dengan konsep liberal dan ekonomi bebas . Apa yang diusahakan melalui liberalisasi dan ekonomi bebas adalah usaha memansuhkan kawalan, subsidi, tarif dan semua jenis perlindungan yang diberi kepada pengusaha dan pedagang tempatan. Ini bertujuan mewujudkan satu keadaan saingan bebas di peringkat antarabangsa.
Pada dasarnya ini adalah usaha yang baik sekiranya semua negara ada pada satu tahap kemajuan dan kebolehan yang sama. Pada hakikatnya keadaan hari ini bukan sebegitu. Negara-negara yang sudah membangun mempunyai jauh lebih daya keupayaan dengan teknologi canggih, modal yang cukup, kemahiran pengurusan yang tinggi dan informasi khasnya mengenai pasaran yang serba lengkap. Justeru itu bagaimanakah negara-negera sedang membangun dapat bersaing?
Misalnya seperti dalam permainan golf, pemain-pemain baru dan yang kurang mahir menguasai permainan diberi “handicap” supaya pemain baru dan kurang berupaya boleh main dengan saingan yang lebih adil. Malangnya apa diusahakan melalui globalisasi adalah penghapusan “handicap” perdagangan dan membesarkan lagi jurang ketidakadilan ekonomi antara negara-negara yang sudah membangun dengan negara-negara yang sedang membangun. Ketidakadilan ini sekianya tidak diatasi akan meleluasa sehingga menjadi ciri utama tamadun dunia kita. Inilah aspek pertama yang diperjuangkan oleh kumpulan yang menentang globalisasi.
Mereka mahukan supaya wujudkan satu system “handicap” perdagangan dalam sistem liberalisasi dan ekonomi bebas yang boleh wujudkan keadaan persaingan yang lebih adil seperti dalam permainan golf.
Kedua, proses globalisasi ini memerlukan ruang dibuka untuk menguasai pasaran. Dengan itu, konsep pasaran terbuka (free market) dan dunia tanpa sempadan (borderless world) dikemukakan dan dipraktikkan. Apa yang diusahakan adalah untuk menyeragamkan peraturan – peraturan pengurusan pasaran tanpa kawalan pihak berkuasa. Lantas seperti dunia tanpa sempadan. Usaha ini giat dijalankan melalui APEC (Asia Pacific Economic Caucus) dan WTO (World Trade Organisation).
Pasaran terbuka dan dunia tanpa sempadan adalah konsep baik seperti rumah terbuka tanpa pagar. Keadaan ini hanya boleh dipraktikan didalam keadaan tamadun dunia yang serba ada, yang adil dan saksama, aman dan damai.
Dalam dunia dimana tujuannya adalah menguasai pasaran, maka akan timbul pula gejala monopoli dan saingan kurang sihat dalam pasaran. Inilah apa kita alami sekarang. Justeru itu kita perlu pagar dan juga kunci rumah bagi melindung diri dari pencerobohan ini. Kita boleh membuka rumah dan memberi kebenaran masuk kepada kawan sekiranya kita mahu.
Pendek kata apa yang diperjuangkan oleh kumpulan menentang globalisasi adalah supaya jangan kita gadaikan hak kita semata-mata mahu mencari keuntungan dan kekayaan. Sudah tentu kita mesti berwaspada dengan APEC, WTO dan lain-lain institutsi antarabangsa yang inginkan globalisasi. Ini adalah untuk kepentingan negara-negara maju dan bukan bagi negara-negara sedang maju seperti Malaysia.
Ketiga, demi mencapai hasrat membuka ruang pelaburan asing dan modal asing sebagai strategi utama pembangunan ditawarkan oleh negara-negara maju kepada negara-negara membangun. Keadaaan ini juga akan menjamin kuasa mereka dapat diperluaskan khasnya keatas negara-negara sedang membangun. Pelaburan dan modal asing ditawarkan dengan syarat-syarat tersendiri.
Pendekatan tambahan tawaran negara-negara maju terutamanya melalui bantuan pembangunan, iaitu official development assistance sebenarnya untuk mengukuhkan pengaruh.. Disebalik tirai kononnya untuk membina keupayaan dan memindah teknologi (capacity building and technology transfer), pengaruh dan kuasa oleh negara-negara sudah bangun keatas negara-negara sedang membangun dijalankan.
Ramai penentang globalisasi berpendapat bahawa pelaburan asing, pinjaman modal, tawaran bantuan bagi membina keupayaan dan usaha pindah teknologi negara-negara membangun kepada negara-negara sedang membangun adalah kata-kata indah. Pengalaman telah menunjukkan jarang dikotakan. Malah semua ini sudah menjadi helah dan strategi bukan sahaja meluaskan kuasa ke atas negara-negara membangun tetapi untuk menjajah negara-negara tersebut. Banyak negara-negara terjerat dalam strategi ini menjadi negara terhutang dan negara yang bergantungkan kepada bantuan semata-mata. Mereka tidak bebas dalam ertikata sebenar. Mereka sudah dijajah ala baru iaitu melalui ekonomi.
Kesannya globalisasi terhadap kaum wanita
Sememangnya globalisasi sudah melebihi batasan kebaikannya dan kini terpesong didorong tiga sebab yang utama. Pertama adalah nafsu mencari keuntungan. Kedua adalah bagi menguasai pasaran. Ketiga adalah bagi memperluaskan kuasa. Dalam keadaan ini sudah ternyata golongan yang menerima kesan negatif nampaknya kaum wanita.Nafsu mencari keuntungan telah mendorong globalisasi menumpukan perhatian keatas kaum wanita. Kaum wanita seboleh–bolehnya dididik, mengasuh dan dipengaruhi menjadi pengguna yang boros. Ego dan nafsu mereka diapi-apikan supaya mereka jadi pengguna yang tidak lagi waras dalam pemikiran. Mereka ikut seruan hati lebih daripada pemikiran otak. Wanita dijadikan manusia satu dimensi bertagih kepada membeli-belah sebagai satu keperluan hidup.
Bagi menguasai pasaran, proses globalisasi juga telah menumpukan perhatian kepada kaum wanita. Kaum wanita dieksploitsikan dalam iklan-iklan mempromosi jualan barang-barangan dan perkhidmatan. Kaum wanita diperalatkan sebagai objek seks. Nafsu kaum wanita diapi-apikan bagi mencari kekayaan dengan senang melalui kerja-kerja luar batasan moral. Ini adalah satu strategi memperluasan pasaran mereka khususnya dalam bidang hiburan, berjudian dan sebagainya. Dengan tidak langsung tonjolan ini memberi kaum wanita satu watak steorotype yang merendahkan kedudukan serta martabat mereka dengan kaum lelaki.
Bagi meperluaskan kuasa pula proses globalisasi menawarkan pekerjaan dan bantuan kepada kaum wanita. Kaum wanita dipandang sebagai punca tenaga kerja yang murah dan mereka boleh membuat kerja halus saperti dikilang memasang alat-alat cangih dan sebagainya. Eksplotasi pekerja-pekerja wanita sememangnya wujud. Proses globalisas ini juga mengakibatkan kuasa kesatuan-kesatuan sekerja yang dapat memastikan kebajikan para pekerja berkurangan.
Dengan timbulnya budaya gaya hidup kaya raya ramai keluarga terperangkap dalam budaya hidup dimana suami-isteri terpaksa kerja bagi menampung gaya hidupan ini. Dalam proses ini kaum wanita terpaksa pikul kerja dan tanggungjawab bertambahan. Mereka bukan sahaja bekerja penuh masa tetapi terpaksa uruskan hal rumahtangga dan jaga kepentingan keluarga. Pendek kata kesan globalisasi adalah lebih ketara dialami oleh kaum wanita daripada kaum lelaki dari segi tanggungjawab, kerja tambahan dan menjaga kesejahteraan keluarga.
Dalam hal ini kaum wanita dan kaum lelaki mesti sedar kesan-kesan negatif globalisasi dan mengambil tindakan bersama memperjuangkan keadilan jantina dan memajukan kesan-kesan positif globalisasi. Kaum lelaki dan masyarakat perlu bangun dan mengkaji semula pegangan hidup dan peranan mereka bersama kaum wanita dalam era globalisasi yang sedang kita harungi.
0 ulasan:
Catat Ulasan